Wednesday, February 8, 2012

BR1M.........! Duit Rakyat vs Rezeki Anak

Assalamualaikum wbr dan Salam 1Malaysia.

Agak-agaknya selesai sudah kerajaan mengagihkan sumbangan BR1M RM 500.00 kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM 3000.00.

Dalam proses pengagihan itu ada pelbagai suara yang didengari. Ada yang berterima kasih dan ada pula yang memperlekehkannya.

Antara suara yang didengari ialah BR1M itu DUIT RAKYAT... memang patut pun kerajaan beri! Memang benar BR1M RM 500.00 itu duit rakyat.

Samalah juga rezeki yang diperoleh oleh bapa atau ibu seperti dapat bonus, naik gaji, naik pangkat dan dapat untung akan disebut sebagai rezeki anak-anak.

Hakikatnya, sekira bapa atau ibu itu betul, amanah dan bertanggungjawab, anak-anak akan merasa rezeki tersebut. Andai bapa atau ibu itu tunggang-langgang, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab, anak-anak tidak merasa rezeki itu walaupun rezeki itu disebut sebagai rezeki anak-anak.

Hakikatnya, BR1M RM 500.00 itu dirasai dan dinikmati oleh rakyat sebagai duit rakyat kerana kerajaan sebagai bapa atau ibu kepada rakyat itu betul, amanah dan bertanggungjawab.

Sekian dan terima kasih.

Friday, January 6, 2012

Perhimpunan & Demontrasi

Assalamualaikum w.b.r.
Sah sudah usaha mengadakan demontrasi bagi membebaskan Anwar telah diberikan kebenaran bersyarat. Maknanya boleh... tetapi

a. adakah perkara yang sama boleh untuk semua orang?
b. apakah Anwar yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia akan bersetuju apabila lawannya mengadakan demontrasi yang serupa kalau-kalau dia berkuasa?
c. apakah orang yang dibenarkan berdemontrasi itu bebas daripada akta dan undang-undang lain?

Hakikatnya, semua pihak tidak boleh mengadakan demontrasi sama ada pada pihak kerajaan atau pembangkang. Apabila kerajaan atau pihak yang selari dengan kerajaan mengadakan demontrasi bagi membantah sesuatu isu, bermakna kerajaan telah mendidik pihak lain cara membantah sesuatu isu yang wujud, iaitu berdemontrasi. Pembangkang juga tidak boleh mengadakan demontrasi kerana apabila pembangkang mengadakan demontrasi akan menanamkan perasaan tegar membakar kelambu kepada generasi muda.

Justeru rakyat atau generasi muda perlu dididik dengan jalan atau cara menyelesaikan isu menerusi musyawarah atau meletakkan isu itu kepada pihak yang bertanggung jawab. Misalnya, apabila ada isu berhubung dengan negara luar, pihak yang selari dengan kerajaan tidak mengadakan demontrasi tetapi isu itu dibawa kepada kerajaan dan diberikan kepercayaan pada kerajaan mengambil usaha menyelesaikan isu tersebut. Jika pihak pembangkang ada isu dengan kerajaan, tidak perlu ada demontrasi tetapi isu itu dibawa kepada mahkamah dan diberikan kepercayaan pada mahkamah menyelesaikan isu tersebut.

Hakikatnya, semua pihak sudah mengambil cara demontrasi dalam berhadapan dengan isu dan telahpun menjadi didikan kepada semua rakyat... Lalu betulkan semula kerana belum terlambat!

Monday, January 2, 2012

Suka Duka UMNO dan AJKnya!

Salam...

Malam pada 2 Januari 2012 telah diadakan Majlis Perasmian Bilik Gerakan bagi sebuah DUN. Ramai yang hadir dan ada juga orang yang katakan kuat dengan parti pembangkang turut hadir. Tahniah!

Dalam ucapan Ketua UMNO Bahagian, beliau mengatakan bahawa beliau baharu sahaja menerima sms (pukul 9.39 mlm) yang mengatakan ada satu cawangan UMNO akan ditubuhkan cabang parti pembangkang.

Justeru saya pun bertanyakan seorang ahli UMNO yang berjawatan dalam UMNO cawangan tersebut tentang siapa yang mahu menubuhkan cabang PKR itu. Jawapannya:

"biarlah ... baru UMNO kerja ... takkan nak selesa je ... kau tanyalah Ketua UMNO... di kampung ada dua orang Ketua UMNO... tanyalah kat dia ... aku mana tahu ... aku kat (di)... "

Lantas saya pun bertanya kepada salah seorang Ketua UMNO cawangan di kampung itu. Jawapan Ketua UMNO Cawangan itu ialah:

" Aku dah tanya... dia kata ada... adale...tapi tak cakap... dia kata kawan dia, nanti dia selesaikan. Aku senang je, kalau dia cakap terus-terang, aku jumpa terus orang itu selesaikan."

Jawapan yang diberikan oleh orang yang mempunyai jawatan dalam UMNO cawangan itu (bukan Ketua UMNO) amat dangkal kerana jawapan beliau telah menggambarkan bahawa beliau tidak memiliki nilai setia dan nilai usaha sama ada pada UMNO, Ketua dan ahli-ahlinya.

Mengapakah mesti ada cabang parti pembangkang, barulah hendak bekerja dan bukankah bekerja itu juga adalah salah satu tanggungjawab dia sebagai ahli yang mempunyai jawatan dalam UMNO cawangan itu? Di sinilah juga dangkalnya jawapan yang diberi. Jawapannya itu juga adalah suatu yang malang bagi keseluruhan ahli UMNO cawangan dan UMNO amnya kerana beliau mempunyai jawatan dalam UMNO. Mujur kita bukan ahli UMNO cawangannya.

Sebenarnya, sekira beliau sudah tidak sebulu dengan ketua atau bercita-cita tinggi untuk menjadi ketua yang mengakibatkan beliau tidak boleh melaksanakan tugas ataupun sekarang beliau sudah ada kerja di ... dan jarang ada di kampung, beliau tidak boleh membiarkan UMNO begitu sahaja. Sikap yang tergambar pada jawapan yang diberikan itu, sebenarnya sikap yang sanggup meletakkan UMNO terkorban atau dalam ketidaktentuan. Sikap demikian amat salah pada prinsip berorganisasi. Sebaliknya, pada prinsip berorganisasi, beliau mesti bersikap lebih gentlement, iaitu meletakkan jawatan untuk membolehkan Ketuanya melantik orang lain atau AJK lain untuk memangku tugasnya. Contohi Tun Mahathir, iaitu apabila beliau tidak sebulu dengan Pak Lah, beliau keluar daripada UMNO. Sikap ini memudahkan beliau menentang UMNO dan pemimpin UMNO turut mudah melawan beliau. Tidak wujud situasi musang berbulu ayam atau baling batu semnbunyi tangan.

Senario ini mesti diambil perhatian oleh UMNO, iaitu UMNO mesti lebih berhati-hati dengan AJKnya sendiri. Tidak guna UMNO menyusun strategi untuk menentang lawan sekira AJKnya sendiri tidak menghayati nilai setia dan nilai usaha untuk UMNO itu sendiri.

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang kawan yang berpendidikan tentang sebab mereka tidak berminat dengan UMNO. Mereka memberikan jawapan lebih kurang begini, iaitu:

"ramai orang memberikan usaha untuk UMNO dan mereka mendapat timbal balas tetapi itu tidak menjadi masalah dan memang patut kerana orang itu telah memberikan usahanya untuk UMNO. Sebaliknya, yang membuat mereka tidak berminat dengan UMNO ialah setelah orang itu memiliki timbal balas, UMNO ditinggalkan. Inilah yang dikaitkan dengan kredibaliti dan keikhlasan pemimpin UMNO dalam membawa perjuangan total untuk agama, bangsa dan negara." Bagi mereka, Malaysia telah mempunyai ramai cerdik pandai yang turut mampu memikirkan cara dan jalan untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ini tidak perlu menanti pemimpin. Tetapi apabila seseorang itu ingin menjadi pemimpin, bukan kecerdikan dalam menjana cara dan jalan memajukan agama, bangsa dan negara menjadi ukuran utama tetapi kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan.

Wallahu'alam!

Sekian dan terima kasih.

Saturday, December 3, 2011

Calon Orang Muda... Apakah Panduannya?

Assalamualaikum w.b.r.

Tahinah kepada UMNO atas kejayaan Perhimpunan Agong UMNO yang telah berlangsung dengan jayanya... Alhamdulillah!

Dalam perhimpunan tersebut, Ketua Pemuda UMNO telah meminta pucuk pimpinan melihat-lihat calon pilihanraya dalam kalangan PEMUDA UMNO. Tahniah diucapkan kerana beliau jujur dalam mengemukakan permohonan dan permohonan itu juga tidak ada apa-apa yang salah. Bagaimanapun, sejarah pelantikan Muhammad S.A.W. sebagai rasul boleh dijadikan panduan dan ikhtibar.

Hakikatnya, sebelum Adam A.S. dicipta, nama Muhammad S.A.W. telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Muhammad S.A.W. akan menjadi manusia agong di muka bumi. Namun begitu, apabila Muhammad S.A.W. dilahirkan ke dunia dan membesar, Muhammad S.A.W. tidak terus dilantik sebagai rasul. Sebaliknya, Muhammad S.A.W. melalui pelbagai pengalaman hidup. Muhammad S.A.W. melalui pengalaman sebagai penggembala kambing, peniaga, menyelesaikan konflik masyarakat, ketua mentadbir rumah tangga dan sebagainya. Malah, sikap dan akhlak Muhammad S.A.W. juga menjadikan Muhammad S.A.W. amat dihormati dan disegani oleh masyarakat sama ada pemimpin atau orang biasa. Namun begitu, Muhammad S.A.W. hanya dilantik oleh Allah S.W.T. sebagai rasul-Nya pada usia 40 tahun. Kalau menurut fikiran kita, dengan kredibaliti Muhammad S.A.W., baginda telah boleh dilantik sebagai rasul pada usia lebih muda daripada 40 tahun. Sebaliknya, Allah S.W.T. maha mengetahui dan maha bijaksana dalam melantik makhluknya yang agong itu pada usia 40 tahun sebagai rasul-Nya. Begitu juga dengan nabi Nuh A.S. Baginda telah hidup selama 1000 tahun. Semasa baginda dilantik menjadi rasul, baginda berusia 450 tahun.

Kedua-dua peristiwa ini singnifikan untuk kita mencari panduan dan ikhtibar dalam memilih calon-calon pilihanraya nanti, khususnya dalam kalangan orang muda.

Sebenarnya, UMNO ada beberapa pengalaman yang sedih dan tragis berhubung pemimpin yang telah dilantik dalam usia muda dan sebelum mereka itu berusia 40 tahun lagi. Ramai pemimpin yang dilantik sebelum berusia 40 tahun itu telah mencetuskan dan terlibat dengan pelbagai isu pada akhirnya. Isu yang dicetuskan oleh pemimpin yang dilantik ketika sebelum berusia 40 tahun itu, kadang-kala telah membawa konflik pada UMNO dan kerajaan. Akhirnya, pemimpin itu juga tidak ke mana-mana. Malah, ada kalangan mereka terpinggir dan dipandang sinis oleh masyarakat. Oleh itu, ambillah iktibar akan pengalaman ini dan pentingnya faktor umur tersebut. Pujangga juga ada menyebutkan bahawa kehidupan bermula usia 40 tahun .

Sebaliknya, orang muda yang belum berusia 40 tahun dan mempunyai bakat kepimpinan, elok menimba pengalaman dalam pelbagai bidang kehidupan seperti agama, persatuan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Bukan bermakna orang muda tidak diiktiraf tetapi pengalaman dan pengetahuan yang mesti dicari dan ditimba pada usia sebelum berusia 40tahun itu amat berguna untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin yang benar-benar matang dan berwibawa.

Pun begitu, pemimpin yang telah dilantik sebelum mereka berusia 40 tahun lagi, teruskanlah perjuangan. Namun begitu, ambillah pengalaman lalu sebagai ikhtibar. Memang sejarah itu berulang kembali tetapi andai diri sentiasa berhati-hati dan ingat pada Allah S.W.T., alam terbentang dijadikan guru, sekali mendongak ke langit memandang bintang, rumput di bumi tidak dilupakan, insya-Allah selamat di dunia dan akhirat.

Sekian dan terima kasih.

Sunday, November 27, 2011

UMNO di cawangan dan kampung?

Assalamualaikum WBR.
Nampaknya situasi sekarang lebih berpihak kepada UMNO. Hal ini berlaku berikutan tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Malah, tindakan dan prinsip yang dikemukakan oleh kedua-dua pemimpin ini disokong oleh pemimpin UMNO dan dapat difahami oleh sebilangan besar rakyat.

Namun begitu, perlu juga diberikan perhatian tentang aktiviti dan program atas nama UMNO (termasuk WANITA, PEMUDA dan PUTERI)di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Pada pemerhatian saya, didapati sebilangan besar UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan lesu dengan sebarang aktiviti dan program. Pemimpin UMNO di peringkat ini hanya senyap, lesu dan tidak terkehadapan selepas mendapat jawatan dalam pemilihan lalu. Percayalah, banyak UMNO di peringkat ini tidak mengadakan mesyuarat jawatankuasa secara berkala. Kalau ada mesyuarat apabila sudah hampir dengan tarikh mesyuarat agong yang telah ditetapkan. Berikutan hal sebegini, ahli-ahli UMNO tidak dapat dididik menghayati prinsip-prinsip perjuangan UMNO menerusai aktiviti dan program. Justeru kesetiaan pada parti seperti yang dilaung-laungkan oleh Presiden UMNO tidaklah berlaku secara konkrit di peringkat ini.

Oleh hal demikian, Persidangan UMNO yang akan berlangsung pada minggu hadapan mesti membincangkan transformasi aktiviti dan program UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Mungkin satu perancangan strategik mesti dirangka oleh pemimpin UMNO Pusat dan Perhubungan Negeri bagi menggerakkan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Malah, UMNO mesti menetapkan tarikh mesyuarat UMNO cawangan dan minitnya mesti dihantar ke UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat. Kaedah ini akan membolehkan UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat boleh menilai tahap-tahap UMNO di peringkat tersebut dan merangka pelan kontigensi bagi membantu UMNO di peringkat tersebut apabila agak kurang menyerlah atau aktif.

Hal yang dibincangkan ini penting supaya UMNO tidak gah hanya di peringkat atas, sedangkan di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan sebenarnya lesu dan tidak terasa kewujudannya. Secara relatifnya, keyakinan masyarakat pada UMNO pada hari ini sebenarnya hasil usaha UMNO Pusat menerusi dasar dan prinsip yang dikemukakan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa orang pemimpin UMNO yang lain. Bagaimanapun, dasar dan prinsip yang dikemukakan itu juga adalah keputusan kerajaan. Keadaan ini tidak cukup sebagai usaha mengukuhkan kesetiaan masyarakat pada UMNO. Oleh itu, sebelum sejarah PRU 12 berulang kembali, Persidangan UMNO pada minggu hadapan mesti menilai kekuatan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan.

Sekian dan terima kasih.

Sekian dan terima kasih.

Tuesday, October 18, 2011

PPSMI Timbu Lagi!

Assalamulaikum wbr.
Baru-baru ini ada kumpulan yang meminta diadakan refrendum berhubung PPSMI. Ada juga yang mengatakan bahawa ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Pun begitu, semua pihak mesti berlapang dada untuk menerima keputusan kerajaan, iaitu menukar semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Malah, perlu disedari bahawa kerajaan tidak sesekali menidakkan kepentingan bahasa Inggeris. Justeru kerajaan telah memperkenalkan dasar MBMMBI. Dasar MBMMBI ini memberikan kepuasan kepada kedua-dua kumpulan sama ada kumpulan yang memperjuangkan martabat bahasa Melayu sambil mengakui pentingnya bahasa Inggeris dan kumpulan yang meyakini bahasa Inggeris sambil mengiyakan bahasa Melayu sebagai khazanah nenek moyang.

Usahlah kita berbalah berhubung PPSMI. Marilah semua pihak di Malaysia menjunjung bahasa Melayu dan mengejar bahasa Inggeris. Jangan pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran!

"Bahasa Melayu DiJunjung, Bahasa Inggeris DiKejar"
Sekian.

Thursday, September 8, 2011

Meh belajar sejarah!

Beberapa hari ini sibuk dengan laporan polis berhubung kenyataan seorang ahli politik, iaitu Mat Sabu yang telah mengatakan bahawa polis di Balai Polis Bukit Kepong yang mati atas kekejaman komunis adalah pengkhianat. Sebaliknya, beliau mengangkat Mat Indera dan komunis adalah pejuang kerana beliau beranggapan bahawa Mat Indera dan komunis itu menyerang polis yang bekerja dengan penjajah Inggeris.

Meh kita belajar sejarah:

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu daripada pihak Jepun, Inggeris telah mengenepikan Bintang Tiga, iaitu suatu agensi komunis. Akibatnya, komunis melancarkan serangan ke atas Inggeris di Tanah Melayu. Dalam pada itu, Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 pula tetapi mendapat bantahan besar-besaran daripada orang Melayu. Bantahan ini kerana Inggeris ingin meletakkan Tanah Melayu di bawah Ratu dan kerajaan Inggeris. Sebelum ini, Inggeris masih mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu walaupun menduduki Tanah Melayu. Berikutan bantahan orang Melayu itu, Inggeris telah membubarkan rancangan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dengan mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu seperti asal. Hal ini bermakna Inggeris hanya memainkan peranan dalam pentadbiran sahaja tanpa menggugat ketuanan dan raja-raja Melayu. Oleh itu, polis di Balai Polis Bukit Kepong itu adalah polis bagi orang dan raja-raja Melayu. Ini terbukti daripada tulisan yang tertera pada topi mereka, iaitu PLOIS DIRAJA dan bukannya Royal British Police.

Sehubungan dengan ini, anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong yang berhadapan dengan komunis adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab mereka mempertahankan orang-orang dan raja-raja Melayu yang menjadi tuan punya Tanah Melayu dan bukannya Inggeris yang hanya sebagai pentadbir sahaja. Oleh hal demikian, serangan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah serangan penjenayah kepada orang yang mempunyai hak.

Berdasarkan huraian pada aspek sejarah pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu ini, jelas bahawa anggota polis yang berhadapan dengan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah pejuang dan komunis itu ialah pengkhianat. Prinsip daripada daripada sejarah seperti Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mahupun Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Melayu Tidak Bersekutu mampu memberikan kefahaman jitu berhubung label kumpulan mana sebagai pejuang dan kumpulan mana pula sebagai pengkhianat.

Ingat bahawa walau Inggeris menduduki Tanah Melayu tetapi Inggeris tidak pernah mencabut ketuanan dan kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ciri-ciri ini dibawa dan kekal sehingga penubuhan Persektuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963. Ini juga dapat kita buktikan dengan sebutan Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik, iaitu jika dibunyikan dengan fonologi Inggeris akan berbunyi Melayzier. Jangan pula sudah faham akan maksud Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik ini, kita berpolemik. Sebaliknya, kefahaman ini memudahkan semua pihak memahami sejarah tanah air tercinta ini, sama-sama menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta sama-sama pula hidup dengan harga-menghargai. Malah, semua pihak terjamin hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Semoga penerangan prinsip sejarah yang dihuraikan secara mudah ini dapat memberikan kefahaman kepada Mat Sabu dan rakyat yang lain.

Insya-Allah nanti akan dijelaskan berhubung Tuah dan Jebat, khususnya berhubung isu siapakah penderhaka?

Justeru saya menasihati diri sendiri dan kenalan blogger supaya menghayati pesan datuk dan nenek tercinta, iaitu "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" dan "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya ".

Sekian.